KAJIAN KES 2: KES KEGANASAN RUMAH TANGGA MENINGKAT SEPANJANG PKP

KUALA LUMPUR: Sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dalam tempoh Januari hingga April tahun ini, dengan peningkatan didorong pelbagai faktor, khususnya implikasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun, berkata kebanyakan kes berpunca daripada desakan ekonomi dan tekanan hidup sehingga ada yang bertindak mencederakan pasangan atau ahli keluarga.

"Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM)sepanjang Januari hingga Disember 2020, sebanyak 5,260 kes keganasan rumah tangga telah dibuka kertas siasatan, manakala merujuk kepada statistik Talian Kasih KPWKM, dalam tempoh sama, sebanyak 2,540 kes keganasan rumah tangga telah diterima.

"Bagi empat bulan pertama untuk tahun 2021 iaitu dari Januari hingga April, sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan. Statistik ini menunjukkan isu keganasan rumah tangga memerlukan intervensi dan kerjasama pelbagai pihak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Masjid Sebagai Pusat Transit Keganasan Rumah Tangga (KRT) di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Majlis itu dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail dan Ketua Setiausaha KPWKM, Dr Maziah Che Yusoff.

Rina menyifatkan usaha JAWI menjadikan masjid sebagai Pusat Transit Keganasan Rumah Tangga adalah inisiatif amat tepat dengan objektif KPWKM dalam dalam memastikan golongan wanita dilindungi sekali gus mewujudkan komuniti yang prihatin dan peka terhadap persekitaran yang berlaku.

Sebanyak 14 buah masjid di Kuala Lumpur terbabit dalam projek rintis bagi melindungi mangsa keganasan rumah tangga dengan dua daripadanya dijadikan pusat transit, manakala selebihnya berfungsi sebagai pusat aduan dan khidmat kaunseling.

"Masjid ini premis yang dekat dengan masyarakat. Melalui projek ini, kita akan lihat keberkesanan dan bagaimana untuk tambah baik dan memperluaskannya ke masjid-masjid di negeri lain.

"Kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita telah mengambil inisiatif awal dengan membangunkan modul bersesuaian sebagai rujukan oleh pegawai JAWI yang dilantik bertugas di pusat transit ini nanti.

"Modul Skuad WAJA iaitu "Wanita Anti Jenayah" telah dibangunkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia yang memfokuskan kepada penyampaian ilmu dan kemahiran asas psikologi dalam usaha meningkatkan keseimbangan kendiri, keluarga, komuniti setempat dan masyarakat keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata, seramai 19 orang pegawai JAWI dan masjid telah menjalani sesi latihan Skuad WAJA pada awal tahun ini.

Katanya, mangsa yang ditempatkan di pusat itu akan turut dibekalkan kit persalinan antaranya mengandungi baju, seluar, selimut, tuala mandi, peralatan mandi dan keperluan asas wanita.

"Meskipun barangan ini mungkin tidak seberapa, namun diharapkan dengan kit persalinan ini dapat membantu kelengkapan mangsa ketika dilindungi di pusat transit ini kelak daripada berteduh dengan keadaan sehelai sepinggang tanpa sebarang kelengkapan asas sewaktu hadir memohon perlindungan di masjid kelak.

"Mangsa akan ditempatkan sementara di sini sementara menunggu perintah mahkamah untuk dibawa ke pusat perlindungan wanita yang telah diwartakan," katanya.

Dua buah masjid yang terpilih sebagai Pusat Transit Keganasan Rumah Tangga adalah Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Al Ghufran di Taman Tun Dr Ismail.

Sementara itu, dua buah masjid yang menjadi pusat khidmat aduan dan kaunseling termasuk Masjid Al Imam Al Ghazali di Bandar Manjalara, Kepong; Masjid Al Qurtubi di Taman Sri Segambut; Masjid Amru Ibn Al Ass, Bandar Baru Sentol; Masjid Ar Rahman, Jalan Pantai Baru dan Masjid Al Ikhlasiah, Bukit Kerinchi.


PENGENALAN KES

   Keganasan rumahtangga bermaksud perlakuan ganas terhadap pasangan. Perlakuan tersebut terdiri daripada fizikal dan ganguan seksual, keganasan pertuturan (maki hamun dan cacian), ugutan dan sebagainya. Keganasan rumahtangga, kebiasaannya berulang dan menjadi mangsa lebih teruk dan berterusan walaupun selepas penceraian. Ini adalah disebabkan pendera ingin terus berkuasa dan mahu mengawal mangsa. Kebanyakkan pendera adalah dari golongan lelaki dan mangsa adalah wanita atau kanak-kanak. Keganasan rumahtangga akan memberi kesan kepada mangsa sama ada dari segi fizikal atau mental.

   Sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dalam tempoh Januari hingga April tahun ini, dengan peningkatan didorong pelbagai faktor, khususnya implikasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak tahun lalu. Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 5,260 kes keganasan rumah tangga telah dibuka kertas siasatan sepanjang Januari hingga Disember 2020. Manakala merujuk kepada statistik Talian Kasih KPWKM, dalam tempoh sama, sebanyak 2,540 kes keganasan rumah tangga telah diterima.


FAKTOR KES

   Dalam tempoh PKP ini terdapat beberapa golongan yang tiak bernasib baik apabila diberhentikan kerja disebabkan ketidakstabilan ekonomi.

   Berdasarkan artikel, kes keganasan rumah tangga yang berlaku sepanjang PKP adalah berpunca daripada desakan ekonomi ketika PKP kerana pendapatan terjejas serta kehilangan pekerjaan. Ekoran pada kehilangan pekerjaan, pendera akan sentiasa berada bersama mangsa serta menghabiskan masa yang banyak bersama hingga menyebabkan peluang untuk konflik berlaku adalah lebih tinggi. Antara konflik yang sering tercetus adalah masalah kewangan serta ketidaktentuan masa depan.

   Selain itu, pendera juga mengalami tekanan hidup akibat daripada PKP. Hal ini telah menyebabkan mangsa menjadi tempat untuk melepaskan tekanan yang dialami oleh pendera. Mangsa akan didera, dipukul dan diseksa bagi memuaskan nafsu amarah pendera. Mangsa tidak boleh lari dari situasi tersebut, tiada sokongan daripada orang lain serta tiada tempat untuk mengadu kerana banyak perkhidmatan yang tidak beroperasi.


KESAN KES

   Keganasan rumah tangga akan menyebabkan mangsa mengalami kemurungan yang teruk akibat dari penderaan yang dilakukan terhadap mangsa. Kemurungan adalah sejenis gangguan mental paling lazim di dunia. Kesan daripada kemurungan, mangsa juga akan mengalami masalah sukar tidur, lembab berfikir dan rasa bersalah yang keterlaluan.

   Selain itu, mangsa juga akan mengalami trauma. Trauma didefinisikan sebagai perasaan terkejut atau fikiran yang amat terganggu yang meninggalkan kesan yang mendalam, menakutkan dan berpanjangan ke atas individu yang mengalami sesuatu peristiwa yang tidak dijangka dalam kehidupannya. Mangsa akan berasa takut untuk meneruskan kehidupan pada masa akan datang kerana masih teringat akan peristiwa yang dialami.

   Seterusnya, mangsa juga akan mengalami kesan luaran seperti lebam, pendarahan dan luka-luka pada anggota badan akibat daripada penderaan secara fizikal. Penderaan fizikal melibatkan perbuatan pendera menyakiti atau menyeksa tubuh badan mangsa dengan tujuan untuk menakut-nakutkan mangsa. Contohnya menampar, memukul, mencekik, menendang, dan sebagainya.


SOLUSI KES

   Setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Bagi kes keganasan rumah tangga yang berlaku sepanjang PKP ini, usaha sama antara Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Pusat Transit Keganasan Rumah Tangga (KRT) bagi mewujudkan transit sementara kepada mangsa. Usaha JAWI menjadikan masjid sebagai Pusat Transit Keganasan Rumah Tangga adalah inisiatif paling tepat pada masa kini, ekoran pada PKP yang dilaksanakan di seluruh negara oleh kerajaan. Sebanyak 14 buah masjid di Kuala Lumpur terbabit dalam projek rintis bagi melindungi mangsa keganasan rumah tangga dengan dua daripadanya dijadikan pusat transit, manakala selebihnya berfungsi sebagai pusat aduan dan khidmat kaunseling.

   Selain itu, antara inisiatif lain yang dapat dilakukan adalah dengan mangsa membuat laporan kejadian keganasan terhadapnya. Mangsa boleh melaporkan kejadian yang beelaku di balai polis yang berhampiran atau di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah atau Jajahan yang berhampiran. Mangsa juga boleh terus ke hospital yang berhampiran sekiranya dicederaka. Pihak hospital akan terus melaporkan jenayah keganasan rumah tangga ke pihak yang bertanggungjawab.


RUMUSAN KES

   Kesimpulannya, isu keganasan rumahtangga ini tidak akan berakhir tanpa kerjasama semua pihak. Adalah menjadi satu hak asasi seorang individu untuk menjalani kehidupan tanpa dibebani dengan perasaan ketakutan yang berlarutan yang mencengkam kebebasannya dan menghakis jatidirinya. Perkara atau situasi yang menghalang seseorang dari dapat hidup sebagai manusia yang merdeka jiwanya mesti dibenteras seawal yang mungkin. Keganasan rumah tangga mesti dibendung dari terus membarah dan ia perlu diuruskan dengan kebijaksaan semua pihak bagi melindungi insan-insan malang dari terus berada dalam lingkaran jahat yang tak berpenghujung.


RUJUKAN

Latifah Arifin, 2021


DISEDIAKAN OLEH

FAJARIAH BINTI MOHD NAJEB (62214220089)

Comments